mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 46 kes berkaitan cuaca panas direkodkan dari Januari sehingga semalam, iaitu 42 kes kelesuan haba dan empat kes strok haba exertional.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 12 kes di Selangor, tujuh kes di Perak, enam kes di Sabah, lima kes masing-masing di Melaka dan Johor, empat kes di Terengganu, tiga kes di Negeri Sembilan dan dua kes masing-masing di Pahang dan Kedah.
“Pecahan kes mengikut usia adalah 23 kes dewasa, 22 kes remaja dan satu kes warga emas.
“Tiada kes kematian berkaitan cuaca panas dilaporkan dari 1 Januari lalu hingga semalam.
“Kesemua kes penyakit berkaitan cuaca panas sudah sembuh dan dicaj dari pusat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sudah mengeluarkan surat peringatan pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM semasa cuaca panas dan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mempertingkat rondaan serta pemantauan fizikal secara intensif di kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran, khususnya di kawasan pertanian, tanah gambut, semak samun, ladang terbiar dan tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti mudah terbakar.
“Langkah ini adalah inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam usaha membendung aktiviti pembakaran terbuka yang menyumbang kepada peningkatan risiko jerebu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd