MELAKA: Seramai 322,808 orang atau 46 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri ini sudah mendaftar untuk program vaksinasi fasa dua dan tiga melalui aplikasi MySejahtera sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pendaftaran vaksin untuk mereka yang memenuhi kriteria fasa dua adalah seramai 109,145 orang berbanding sasaran 250,000 orang.
Jelas beliau, pelbagai program telah dijalankan untuk menggalakkan dan membantu pendaftaran vaksin antaranya penglibatan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kalangan komuniti.
“Selain itu terdapat juga program Info on Wheels dan Pendaftaran Vaksinasi di bazar Ramadan oleh Jabatan Penerangan, promosi di pasar raya, pembukaan kaunter pendaftaran di masjid-masjid oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Agensi Pertahanan Awam (APM), program promosi pendaftaran vaksin oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy dan Belia 46 serta banyak lagi.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memulakan penerangan berkaitan program imunisasi bagi memastikan golongan ini menerima maklumat yang betul dan tepat selain tidak ketinggalan dalam program imunisasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Rahmad, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bekerjasama menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada warga emas di pusat-pusat jagaan dan institusi warga emas oleh pasukan bergerak dari setiap daerah bermula 24 Mei ini.
“Pemberian vaksin kepada jemaah haji seramai 380 orang dijalankan di Dewan Tun Ali pada 10 dan 31 Mei yang melibatkan 311 orang bagi kumpulan satu manakala 18 Mei dan 8 Jun melibatkan 69 orang bagi kumpulan dua,” katanya.
Mengenai kerjasama pihak swasta, Rahmad berkata, sebanyak sembilan klinik swasta telah bersedia untuk pemberian vaksin fasa dua bermula 18 dan 25 Mei depan.
Katanya, antara pihak yang terlibat adalah Klinik Bukit Katil 24 Jam Taman Merak, Poliklinik Bukit Katil Saujana, Poliklinik Hidayah Krubong dan Batu Berendam, Poliklinik Wahidah Ayer Keroh dan Poliklinik Fasya Bukit Beruang.
“Selain itu, penglibatan hospital swasta dalam pemberian vaksin fasa dua telah bermula pada 10 Mei lalu melalui Program Outreach Bahagian Perubatan. Seramai 684 orang penerima vaksin telah disuntik di empat hospital swasta.
“Tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dewan awam akan dibuka untuk fasa dua dan tiga pada 24 Mei iaitu di Dewan Hang Tuah di Melaka Tengah, Dewan CREATE (Alor Gajah) dan Dewan MPJ Hj. Muhammad Ithnin (Jasin). PPV lain akan dibuka pada bulan depan,” jelasnya.