Paris: Kegembiraan penyokong Paris Saint-Germain (PSG) bertukar kecoh apabila 47 individu ditahan polis manakala tiga yang lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta di tengah sambutan kemenangan kelab itu ke final Liga Juara-Juara.
Insiden selepas PSG menundukkan Arsenal 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Rabu malam, sekali gus melayakkan mereka ke pentas akhir pada 31 Mei ini iaitu peluang keemasan untuk memburu kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab.
Menurut pihak berkuasa, kereta jenis Mercedes melanggar sekumpulan orang awam yang sedang meraikan kemenangan berdekatan Avenue Champs-Elysees yang terkenal di ibu kota Perancis itu. “Keadaan sebenar insiden masih dalam siasatan,” kata polis.
Antara yang cedera termasuk seorang remaja yang kini dalam keadaan kritikal di hospital. Pendakwa raya mengesahkan siasatan dibuka atas kesalahan menyerang, melarikan diri dari tempat kejadian dan gagal memberikan bantuan kepada mangsa.
Saksi memaklumkan pemandu cuba meloloskan diri dengan kenderaan namun tersekat akibat lautan penyokong. Dia dan penumpang kemudian melarikan diri dengan berjalan kaki, meninggalkan kereta yang kemudiannya dibakar dan musnah sepenuhnya.
Kegembiraan bertukar kepada rusuhan apabila kumpulan penyokong bertindak ganas, melempar objek ke arah anggota keselamatan. Empat kenderaan turut dilaporkan rosak.
Lebih 2,000 anggota polis dan perkhidmatan kecemasan dikerahkan sempena perlawanan yang berlangsung sehari sebelum cuti umum memperingati kekalahan Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




