am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan negeri akan menaik taraf 47 klinik kesihatan (KK) yang uzur dan daif di negeri ini pada tahun ini membabitkan peruntukan lebih RM30 juta daripada kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, ia akan membabitkan kerja menaik taraf infrastruktur serta menggantikan sistem perubatan lama.
Beliau berkata, proses mengeluarkan tender akan bermula pada Mac depan dan dijangka dapat diselesaikan sebelum Oktober.
“Kita telah mengenal pasti 47 KK yang uzur dan daif di setiap daerah di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan untuk dinaik taraf demi keselesaan pengguna.
“Sebelum ini, sebanyak 98 KK di seluruh negeri ini telah dinaik taraf sejak 2023 sehingga Disember lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan UMP di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, tiga KK di Gelang Patah, Majidee dan Tebrau di sini, hampir siap dinaik taraf sepenuhnya dengan peruntukan berjumlah RM4 juta.
“Menteri Besar juga berhasrat untuk menyumbangkan ambulans di ketiga-tiga KK itu, juga dijangka akan diperolehi dalam masa terdekat,” jelasnya.
Pada masa sama, menurut beliau, tiada fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir yang melanda di lima daerah di negeri ini, baru-baru ini.
“Semua fasiliti kesihatan berada dalam keadaan baik dan tidak terkesan akibat banjir, boleh beroperasi seperti biasa,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd