bhnews@bh.com.my
LANGKAWI: Polis mengeluarkan sebanyak 47 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, dalam Operasi Bersepadu di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata saman dikeluarkan selepas memeriksa 500 individu dan 858 kenderaan.
Daripada jumlah itu, katanya, 152 membabitkan pemeriksaan motosikal, 645 kereta dan 61 lain-lain.
“Polis mengeluarkan 47 saman, JPJ satu saman dan empat notis, manakala JAS masing-masing enam kompaun dan notis,” katanya pada sidang media di lokasi sekatan jalan raya di sini, hari ini.
Operasi selama empat jam berakhir jam 7 malam ini, disertai 50 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Shariman berkata, dalam operasi sama, AADK memeriksa 27 individu dan enam daripadanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
© New Straits Times Press (M) Bhd