48 lokasi laluan sesak, 'hotspot,' 29 lokasi 'blackspot,' kerap kemalangan dipantau di Perak

48 lokasi laluan sesak, 'hotspot,' 29 lokasi 'blackspot,' kerap kemalangan dipantau di Perak

am@hmetro.com.my

Gopeng: Seramai 255 anggota polis trafik digerakkan bagi memantau 48 lokasi laluan sesak, panas (‘hotspot’) dan 29 lokasi hitam (‘blackspot’) atau kerap berlaku kemalangan di seluruh Perak sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bilangan lokasi panas dan hitam terbabit yang kekal sama seperti tahun sebelumnya bagaimanapun hanya merangkumi jalan persekutuan, perbandaran serta jalan negeri yang tidak termasuk laluan lebuh raya.

Katanya, operasi enam hari itu dilaksanakan menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak bermula Khamis ini hingga 24 Mac yang termasuk dalam kerangka Op Lancar yang fasa pertamanya diadakan pada Khamis dan Jumaat ini.

Manakala fasa kedua pada 27 hingga 29 Mac ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta meminimumkan kadar kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan peningkatan aliran trafik dalam kadar 30 peratus bermula esok hingga Jumaat ini, justeru beberapa persimpangan lampu isyarat diletakkan dalam mod lampu isyarat kuning atau ‘amber light’.

“Kita jangka peningkatan aliran trafik bermula pada 19 hingga 21 April iaitu daripada hari Rabu hingga Jumaat. Peningkatan kenderaan boleh mencapai hingga 30 peratus berbanding hari biasa.

“Kita berkolaborasi dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk amber light di beberapa lampu isyarat di persimpangan. Jadi kita nasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hatilah bila sampai ke simpang yang ada amber light,” katanya.

Noor Hidam berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Perak Tahun 2026 di Dewan Terbuka FAMA, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini petang semalam.

Kata Noor Hisam, antara lokasi hitam membabitkan laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik iaitu di KM 11 JRTB Gerik-Jeli dan KM 3 JRTB Gerik-Kupang.

Op Selamat 26 yang dilancarkan serentak seluruh negara bertemakan Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi memfokuskan kepada memastikan aliran trafik lancar, mengurangkan kemalangan, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah ketika perayaan.

Kata Noor Hisam, bagi kenderaan barangan, larangan pemanduan sempena Aidilfitri 2026 juga dibahagikan kepada dua fasa iaitu pada Khamis dan Jumaat ini dan pada 28 hingga 29 Mac selepas Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, pada Op Selamat 24 tahun lalu, 960 kes kemalangan direkodkan dengan 10 kes kemalangan maut di Perak dan untuk Op Selamat 26 kali ini, fokus Polis Perak adalah mengurangkan lagi kadar itu sebanyak lima peratus.

“Kita memberi penekanan kepada keselamatan pengguna jalan raya dengan penguatkuasaan saman terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar.

“Selain itu adalah kesalahan memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top