02 Jun 2026 10:32am
Masa membaca: 4 minit

Messi mengetuai juara bertahan edisi Qatar 2022, Argentina untuk saingan Piala Dunia AS, Mexico dan Kanada 2026 diundi dalam Kumpulan J bersama Algeria, Austria dan Jordan.FOTO: AFP
SEBANYAK 48 pasukan bakal berentap pada saingan Piala Dunia 2026 yang menyingkap tirai di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai depan.
Edisi kali ini mencatat sejarah tersendiri sebagai temasya bola sepak dunia pertama menampilkan 48 pasukan.
Saingan dijangka sengit dengan kehadiran kuasa besar bola sepak dunia seperti Argentina, Brazil, Perancis, Sepanyol, England dan Jerman.
Turut menjadi tumpuan ialah beberapa pasukan kuda hitam yang berpotensi mencipta kejutan di pentas dunia.
KUMPULAN A
Republik Czech
- Jurulatih: Miroslav Koubek
- Pemain bintang: Patrick Schick
- Pencapaian terbaik: Naib juara (sebagai Czechoslovakia) pada 1934 dan 1962
- Republik Czech kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006. Walaupun tidak lagi dibarisi nama besar seperti Pavel Nedved dan Petr Cech, mereka berjaya melayakkan diri menerusi aksi playoff selepas menewaskan Republik Ireland dan Denmark.
Mexico
- Jurulatih: Javier Aguirre
- Pemain bintang: Raul Jimenez
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (1970, 1986)
- Mexico mencipta sejarah sebagai negara pertama menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak tiga kali. Bagaimanapun, skuad El Tri hadir tanpa status pencabar utama dan bergantung kepada sokongan padu penyokong di laman sendiri untuk memberi kelebihan.
Afrika Selatan
- Jurulatih: Hugo Broos
- Pemain bintang: Lyle Foster
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1998, 2002, 2010)
- Bafana Bafana kembali ke Piala Dunia buat kali pertama sejak menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2010. Mereka berjaya mengatasi pelbagai cabaran sepanjang kempen kelayakan untuk menempah tiket ke Amerika Utara.
Korea Selatan
- Jurulatih: Hong Myung-bo
- Pemain bintang: Son Heung-min
- Pencapaian terbaik: Tempat keempat (2002)
- Korea Selatan masih bergantung kepada ketajaman Son Heung-min yang kini berusia 33 tahun. Namun, skuad Taeguk Warriors memerlukan pemain lain tampil menyerlah jika mahu mengulangi pencapaian membanggakan mereka di pentas dunia.
KUMPULAN B
Bosnia & Herzegovina
- Jurulatih: Sergej Barbarez
- Pemain bintang: Edin Džeko
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2014)
- Bosnia dan Herzegovina mencipta kejutan apabila menyingkirkan Itali dalam aksi playoff untuk layak ke Piala Dunia kedua mereka. Edin Džeko terus menjadi sandaran utama biarpun sudah mencecah usia 40 tahun, selain dibantu generasi baharu yang semakin menyerlah.
Kanada
- Jurulatih: Jesse Marsch
- Pemain bintang: Alphonso Davies
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1986, 2022)
- Selaku tuan rumah bersama, Kanada berusaha melonjakkan reputasi bola sepak negara itu. Kecergasan Alphonso Davies menjadi tumpuan utama, manakala Jonathan David diharapkan mampu memikul cabaran di barisan serangan.
Qatar
- Jurulatih: Julen Lopetegui
- Pemain bintang: Akram Afif
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2022)
- Qatar kembali ke pentas Piala Dunia selepas kempen mengecewakan pada edisi 2022. Di bawah kendalian Julen Lopetegui, mereka kini lebih teratur dan bergantung kepada kreativiti Akram Afif untuk mencipta impak.
Switzerland
- Jurulatih: Murat Yakin
- Pemain bintang: Granit Xhaka
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (1934, 1938, 1954)
- Switzerland hadir sebagai pasukan konsisten Eropah, namun skuad ini menghampiri fasa peralihan generasi. Mereka tetap berbahaya dengan disiplin taktikal tinggi dan kemampuan memberi tekanan kepada mana-mana pasukan.
KUMPULAN C
Brazil
- Jurulatih: Carlo Ancelotti
- Pemain bintang: Vinícius Júnior
- Pencapaian terbaik: Juara (1958, 1962, 1970, 1994, 2002)
- Brazil kembali dengan reputasi gergasi bola sepak dunia. Di bawah bimbingan Carlo Ancelotti, Selecao dijangka tampil dengan gaya permainan penuh keyakinan dan misi menambah koleksi kejuaraan dunia mereka.
Haiti
- Jurulatih: Sebastien Migné
- Pemain bintang: Jean-Ricner Bellegarde
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1974)
- Haiti mencipta sejarah kelayakan meskipun berdepan ketidakstabilan negara. Skuad ini beraksi di luar negara sejak 2021 namun tetap berjaya mencipta kejutan dalam kempen kelayakan.
Maghribi
- Jurulatih: Mohamed Ouahbi
- Pemain bintang: Achraf Hakimi
- Pencapaian terbaik: Tempat keempat (2022)
- Maghribi masih membawa momentum kejayaan Piala Dunia 2022 apabila menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir. Mereka memiliki keseimbangan pengalaman dan kualiti di setiap posisi.
Scotland
- Jurulatih: Steve Clarke
- Pemain bintang: Scott McTominay
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (beberapa edisi)
- Scotland kembali ke Piala Dunia selepas 28 tahun dan hadir dengan semangat baharu. Kehadiran pemain seperti John McGinn, Andy Robertson dan Scott McTominay memberi harapan untuk mencipta kejutan.
KUMPULAN D
Australia
- Jurulatih: Tony Popovic
- Pemain bintang: Nestory Irankunda
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (2006, 2022)
- Australia kekal sebagai antara pasukan konsisten Asia-Pasifik di pentas dunia. Selepas layak ke pusingan 16 pada 2022, Socceroos dijangka sekali lagi menjadi pasukan yang sukar ditewaskan.
Paraguay
- Jurulatih: Gustavo Alfaro
- Pemain bintang: Miguel Almirón
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (2010)
- Paraguay kembali ke Piala Dunia selepas lebih sedekad dengan reputasi pasukan berdisiplin. Di bawah Gustavo Alfaro, mereka menunjukkan peningkatan ketara termasuk menewaskan gergasi Amerika Selatan dalam kelayakan.
Turkiye
- Jurulatih: Vincenzo Montella
- Pemain bintang: Arda Güler
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (2002)
- Turkiye kembali selepas lima edisi gagal layak dengan membawa generasi muda berbakat. Arda Güler dan Kenan Yildiz dijangka menjadi pencetus utama kebangkitan pasukan ini.
Amerika Syarikat
- Jurulatih: Mauricio Pochettino
- Pemain bintang: Christian Pulisic
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1930)
- Sebagai tuan rumah, Amerika Syarikat meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kejayaan di laman sendiri. Di bawah kendalian Mauricio Pochettino, mereka dijangka memanfaatkan kelebihan sokongan penyokong tempatan.
KUMPULAN E
Curacao
- Jurulatih: Dick Advocaat
- Pemain bintang: Leandro Bacuna
- Pencapaian terbaik: Debutan
- Curacao mencipta sejarah apabila layak buat pertama kali ke Piala Dunia. Diketuai jurulatih berpengalaman Dick Advocaat, pasukan kecil ini tampil tanpa tekanan besar dan berpotensi mencipta kejutan.
Ecuador
- Jurulatih: Sebastián Beccacece
- Pemain bintang: Moisés Caicedo
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (2006)
- Ecuador terus menunjukkan peningkatan sebagai pasukan muda dan bertenaga dari Amerika Selatan. Mereka kini lebih tersusun dengan kekuatan utama di benteng pertahanan dan tenaga tengah.
Jerman
- Jurulatih: Julian Nagelsmann
- Pemain bintang: Jamal Musiala
- Pencapaian terbaik: Juara (1954, 1974, 1990, 2014)
- Jerman kembali dengan misi menebus kegagalan dua edisi terdahulu. Walaupun masih memiliki kualiti tinggi, persoalan utama ialah kestabilan benteng pertahanan mereka.
Ivory Coast
- Jurulatih: Emerse Faé
- Pemain bintang: Amad Diallo
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2006, 2010, 2014)
- Ivory Coast bergantung kepada kombinasi bakat muda dan pengalaman. Selepas lama tidak beraksi di pentas dunia, mereka berusaha membina semula kekuatan pasukan.
KUMPULAN F
Jepun
- Jurulatih: Hajime Moriyasu
- Pemain bintang: Takefusa Kubo
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (2002, 2010, 2018, 2022)
- Jepun kini antara pasukan Asia paling konsisten di pentas dunia. Dengan disiplin tinggi dan taktikal moden, mereka mampu mencipta kejutan ke atas pasukan besar.
Belanda
- Jurulatih: Ronald Koeman
- Pemain bintang: Virgil van Dijk
- Pencapaian terbaik: Naib juara (1974, 1978, 2010)
- Belanda hadir dengan skuad seimbang walaupun tidak sekuat generasi terdahulu. Namun pengalaman pemain Premier League memberi kekuatan tersendiri.
Sweden
- Jurulatih: Graham Potter
- Pemain bintang: Alexander Isak
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1994)
- Sweden bangkit semula selepas kempen kelayakan yang tidak menentu. Di bawah Graham Potter, mereka kembali tersusun dan lebih kompetitif.
Tunisia
- Jurulatih: Sabri Lamouchi
- Pemain bintang: Hannibal Mejbri
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (beberapa edisi)
- Tunisia terkenal dengan disiplin pertahanan yang tinggi. Namun mereka perlu lebih tajam di hadapan gol jika mahu melangkah jauh.
KUMPULAN G
Belgium
- Jurulatih: Rudi Garcia
- Pemain bintang: Kevin De Bruyne
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (2018)
- Belgium masih bergantung kepada generasi emas yang semakin berusia. Mereka memerlukan kebangkitan generasi baharu untuk kekal relevan di pentas dunia.
Mesir
- Jurulatih: Hossam Hassan
- Pemain bintang: Mohamed Salah
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1934, 1990, 2018)
- Mesir sekali lagi bergantung kepada kehebatan Mohamed Salah. Harapan tinggi diletakkan untuk mencipta kemenangan pertama di pentas Piala Dunia.
Iran
- Jurulatih: Amir Ghalenoei
- Pemain bintang: Mehdi Taremi
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (beberapa edisi)
- Iran berdepan tekanan besar di luar padang, namun tetap konsisten layak ke Piala Dunia. Mereka dijangka bergantung kepada disiplin taktikal yang tinggi.
New Zealand
- Jurulatih: Darren Bazeley
- Pemain bintang: Chris Wood
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1982, 2010)
- New Zealand kembali dengan skuad tersusun dan fizikal kuat. Chris Wood menjadi sandaran utama di bahagian serangan.
KUMPULAN H
Cape Verde
- Jurulatih: Bubista
- Pemain bintang: Ryan Mendes
- Pencapaian terbaik: Debutan
- Cape Verde mencipta sejarah sebagai antara negara terkecil yang layak ke Piala Dunia. Kehadiran mereka menjadi simbol perkembangan bola sepak Afrika.
Arab Saudi
- Jurulatih: Georgios Donis
- Pemain bintang: Salem Al-Dawsari
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (1994)
- Arab Saudi terus melabur besar dalam pembangunan bola sepak. Selepas mengejutkan Argentina pada edisi lalu, mereka kembali dengan cabaran baharu.
Sepanyol
- Jurulatih: Luis de la Fuente
- Pemain bintang: Lamine Yamal
- Pencapaian terbaik: Juara (2010)
- Sepanyol antara pencabar utama kejuaraan dengan generasi baharu berbakat besar. Kecergasan pemain muda menjadi faktor penting dalam kempen mereka.
Uruguay
- Jurulatih: Marcelo Bielsa
- Pemain bintang: Federico Valverde
- Pencapaian terbaik: Juara (1930, 1950)
- Uruguay hadir dengan pasukan seimbang tetapi tidak menentu. Di bawah Marcelo Bielsa, mereka mampu menjadi pasukan sukar dijangka.
KUMPULAN I
Perancis
- Jurulatih: Didier Deschamps
- Pemain bintang: Kylian Mbappé
- Pencapaian terbaik: Juara (1998, 2018)
- Perancis kekal sebagai antara kuasa besar dunia dengan barisan serangan paling berbahaya. Ini merupakan kejohanan terakhir Didier Deschamps sebagai pengendali.
Iraq
- Jurulatih: Graham Arnold
- Pemain bintang: Aymen Hussein
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1986)
- Iraq kembali ke Piala Dunia selepas 40 tahun dan hadir sebagai pasukan kuda hitam. Walaupun berdepan cabaran besar, pencapaian ini sudah dianggap luar biasa.
Norway
- Jurulatih: Ståle Solbakken
- Pemain bintang: Erling Haaland
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (1998)
- Norway kembali dengan skuad berbakat besar diketuai Erling Haaland. Mereka tampil sebagai antara pasukan yang mampu mencipta kejutan besar.
Senegal
- Jurulatih: Pape Thiaw
- Pemain bintang: Sadio Mané
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (2002)
- Senegal kekal sebagai antara kuasa Afrika paling konsisten. Gabungan pengalaman dan tenaga muda menjadikan mereka pencabar serius.
KUMPULAN J
Algeria
- Jurulatih: Vladimir Petković
- Pemain bintang: Riyad Mahrez
- Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (2014)
- Algeria bergantung kepada pengalaman Riyad Mahrez untuk memimpin pasukan. Keseimbangan taktikal menjadi kunci utama.
Argentina
- Jurulatih: Lionel Scaloni
- Pemain bintang: Lionel Messi
- Pencapaian terbaik: Juara (1978, 1986, 2022)
- Argentina hadir sebagai penyandang juara dengan misi mempertahankan kejuaraan. Messi dijangka mengharungi Piala Dunia terakhirnya.
Austria
- Jurulatih: Ralf Rangnick
- Pemain bintang: David Alaba
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1954)
- Austria kembali selepas lama menyepi dengan pendekatan taktikal moden. Mereka dijangka sukar ditewaskan.
Jordan
- Jurulatih: Jamal Sellami
- Pemain bintang: Musa Al-Taamari
- Pencapaian terbaik: Debutan
- Jordan membuat penampilan sulung di pentas dunia dengan status underdog. Mereka hadir tanpa tekanan besar.
KUMPULAN K
Colombia
- Jurulatih: Néstor Lorenzo
- Pemain bintang: Luis Díaz
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (2014)
- Colombia kembali dengan keyakinan tinggi selepas aksi cemerlang di Copa América. Mereka memiliki keseimbangan serangan dan pengalaman.
DR Congo
- Jurulatih: Sébastien Desabre
- Pemain bintang: Cédric Bakambu
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (1974)
- DR Congo kembali ke pentas dunia selepas lebih 40 tahun. Mereka memiliki beberapa pemain berpengalaman di Eropah.
Portugal
- Jurulatih: Roberto Martínez
- Pemain bintang: Vitinha
- Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1966)
- Portugal hadir dengan generasi berbakat besar tetapi tidak semua mendapat tempat dalam skuad. Ronaldo dijangka mengharungi edisi terakhirnya.
Uzbekistan
- Jurulatih: Fabio Cannavaro
- Pemain bintang: Abdukodir Khusanov
- Pencapaian terbaik: Debutan
- Uzbekistan membuat penampilan sulung dengan barisan muda berbakat. Kehadiran Fabio Cannavaro menambah pengalaman di bangku kejurulatihan.
KUMPULAN L
Croatia
- Jurulatih: Zlatko Dalić
- Pemain bintang: Luka Modrić
- Pencapaian terbaik: Naib juara (2018)
- Croatia masih bergantung kepada generasi emas yang semakin berusia. Modrić dijangka mengharungi Piala Dunia terakhirnya.
England
- Jurulatih: Thomas Tuchel
- Pemain bintang: Harry Kane
- Pencapaian terbaik: Juara (1966)
- England kembali sebagai antara pencabar utama kejuaraan. Di bawah Thomas Tuchel, mereka memburu gelaran dunia kedua.
Ghana
- Jurulatih: Carlos Queiroz
- Pemain bintang: Antoine Semenyo
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (2010)
- Ghana kembali dengan skuad berbakat tetapi tidak konsisten. Mereka memerlukan kestabilan untuk mara lebih jauh.
Panama
- Jurulatih: Thomas Christiansen
- Pemain bintang: Adalberto Carrasquilla
- Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan (2018)
- Panama hadir dengan disiplin tinggi dan identiti pasukan yang jelas. Mereka tetap dianggap pasukan bukan pilihan.



