48,319 pendatang haram 'dihalau' balik negara asal

48,319 pendatang haram 'dihalau' balik negara asal

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 48,319 tahanan pendatang haram tanpa izin (Pati) yang ditahan di 18 depot kekal, dua depot sementara dan enam Baitul Mahabbah di seluruh negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, depot di seluruh negara hanya mampu menampung seramai 21,530 orang tahanan.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesesakan di dalam depot beberapa langkah diambil di mana sehingga 31 Disember lalu, seramai 48,319 tahanan sudah dipindahkan ke negara asal.

“Pecahan membabitkan 34,702 lelaki, 11,540 wanita 1,176 kanak-kanak lelaki dan 901 kanak-kanak perempuan.

“Langkah yang diambil mengurangkan kesesakan termasuk penyediaan pengangkutan feri bagi pemindahan tahanan warganegara Filipina dari Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga Filipina bagi tempoh dua tahun bermula 4 September 2023 hingga 30 April 2026.

“Penyediaan perkhidmatan sewaan feri bagi penghantaran pulang tahanan warganegara Indonesia dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025,” katanya kepada Harian Metro.

Zakaria berkata, selain itu, langkah lain adalah penyediaan perkhidmatan sewaan feri bagi penghantaran pulang tahanan warganegara Indonesia di Depot Semenanjung Malaysia dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Pelabuhan Tanjung Pinang, Indonesia bagi tempoh dua tahun iaitu bermula 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026.

“Kami turut mengadakan program penghantaran pulang terus (Fast Track) dari Penjara bagi tahanan-yang tamat hukuman ke negara asal.

“Itu antara Langkah diambil JIM bagi mengurangkan kesesakan di depot,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top