5.94 juta ahli KWSP nikmati i-Sinar [METROTV]

Kuala Lumpur: Sebanyak RM52.48 bilion pengeluaran program i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan membabitkan 5.94 juta pemohon.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM32.74 bilion sudah dikreditkan.

“Mulai 8 Mac 2021, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar ditambah baik bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Setakat 14 Mac 2021, pengeluaran sebanyak RM52.48 bilion sudah diluluskan yang membabitkan seramai 5.94 juta pemohon,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-46 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), hari ini.

KWSP sebelum ini memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mulai 8 Mac lalu, ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Permohonan baharu akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh itu, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Di bawah syarat baharu ini, kriteria pengurangan pendapatan tidak lagi terpakai untuk permohonan i-Sinar.

Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan.

Tarikh akhir permohonan i-Sinar adalah pada 30 Jun 2021.

Ahli yang memohon pengeluaran i-Lestari juga layak mengemukakan permohonan i-Sinar.