am@hmetro.com.my
Nilai: Seramai lima individu sudah diambil keterangan berhubung kejadian seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang maut akibat lemas di kolam mandi dekat sebuah rumah kelab di Lenggeng, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya juga melakukan siasatan dari segi unsur pengabaian bagi kes berkenaan.
“Setakat ini pihak polis sudah mengambil keterangan lima individu berhubung kejadian ini iaitu ibu dan bapa mangsa, guru, kakak mangsa serta doktor.
“Siasatan masih dijalankan untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke pihak pendakwaan. Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian,” katanya, hari ini.
Semalam media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa Nur Dhiya Azzalea Noor Muhamad dikatakan lemas ketika mandi bersama rakan.
Mangsa dikatakan sempat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Johari berkata, hasil bedah siasat yang dilaksanakan di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau selama dua jam bermula jam 9 pagi itu menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Justeru beliau berkata, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya tidak membiarkan anak kecil mandi di kolam atau kawasan berair lain tanpa pengawasan orang dewasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




