am@hmetro.com.my
Seremban: Lima rakan sekerja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barangan kawalan berjadual iaitu 20,250 liter minyak diesel secara runcit tanpa lesen sah, tahun lalu.
Tertuduh, S Rajakumar, 35, V Maran, 23, E Kunaal, 23, R Poobalan, 44 dan S Kalitha, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama, Rajakumar dan Maran secara bersama-sama didapati telah ada dalam jagaan barang kawalan minyak diesel sebanyak 955 liter di dalam tangki simpanan pukal (IBC).
Manakala bagi pertuduhan kedua, Rajakumar berdepan satu lagi pertuduhan bersama Kunaal didapati memiliki minyak diesel 15.871 liter di dalam sebuah lori tangki.
Seterusnya bagi pertuduhan ketiga, Poobalan dan Kalitha didapati memiliki minyak diesel 15.871 liter di dalam sebuah lori tangki.
Ia dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit tanpa lesen.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.30 petang di sebuah premis di Mukim Labu di sini pada 20 Februari 2024.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kelima-lima OKS yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan mereka mempunyai pendapatan rendah selain ada yang tidak bekerja selain menanggung ahli keluarga masing-masing.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di Pejabat KPDN setiap sebulan dan tidak menggangu saksi.
Kes ditetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 4 November depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




