5 ditahan, sindiket judi 'online' sasar pelanggan China tumpas

5 ditahan, sindiket judi 'online' sasar pelanggan China tumpas

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai menyasarkan pelanggan dari China terbongkar selepas polis menahan lima individu termasuk seorang wanita tempatan dalam serbuan di dua premis di sekitar Bukit Jalil, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di premis pejabat setempat sebelum seorang wanita tempatan berumur 36 tahun ditahan.

Fadil berkata, hasil penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran.

“Dalam serbuan itu, empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang mengurus laman web perjudian turut ditahan.

“Siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan menyewa premis itu dengan bayaran kira-kira RM2,000 sebulan bagi tujuan operasi.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua warga China yang ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

“Polis Kontinjen KL melalui Bahagian D7 akan mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di ibu negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top