rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan tidak didasari konflik di Perlis, sebaliknya sudah bersedia daripada awal untuk menyerahkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) kepada PAS.
Perkara itu didedahkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan hal itu disuarakan dalam pertemuan di sebuah restoran di London semalam.
Menurutnya, pertemuan selama tiga jam itu selepas beliau menghadiri jemputan Kelab PAS UK di Nottingham, yang turut dimaklumkan kepada beberapa pimpinan PAS bagi mengelak salah faham.
“Perbualan dimulakan dengan bertanya khabar dan menyatakan tujuan berada di UK. TSMY (Muhyiddin) tiba di London pertengahan Disember dan dijadual untuk rawatan susulan. Dimaklumkan sebaik sampai, beliau tak sihat dan masuk hospital beberapa hari. Alhamdulillah sekarang agak sihat.
“TSMY seorang yang sentiasa bercakap berterus terang. Beliau yang saya kenali, mempunyai pandangan politik yang jelas dan kaya dengan pengalaman. Walau kadangkala kami berbeza pendapat, tapi saya perhatikan beliau mempunyai “wisdom” yang tinggi.
“Dalam perbualan saya banyak mendengar. Sekali sekala saya bertanya soalan untuk mendapat penjelasan lanjut. TSMY hampir 10 tahun lebih tua daripada saya. Semasa saya sertai Kabinet, TSMY Menteri Besar Johor. Apabila saya bertukar dari Kementerian Belia dan Sukan, portfolio itu dipegang beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan tahun 90-an,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau memaklumkan Muhyiddin secara konsisten sebanyak lima kali mengulangi kesediaannya pada bila-bila masa melepaskan jawatan jika PAS mahu memimpin PN.
“Malah dia (Muhyiddin) beri bayangan boleh berkuat kuasa 1 Januari ini. Malah dia beri mandat kepada saya supaya maklumkan pada pimpinan PAS. Tetapi saya tidak maklumkan, kerana saya bukan orang tengah.
“Lagipun dalam PAS kami ada disiplin berorganisasi. Kebetulan difahamkan PAS ada mesyuarat JK Harian pada malam 29 Disember itu (semalam), setiap perkara dibincang mendalam penuh tertib dalam PAS,” tulisnya.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, PAS juga sudah menyatakan kesediaan memimpin PN.
Justeru, Annuar menafikan peletakan jawatan Muhyiddin kerana isu di Perlis.
Beliau menyifatkan tindakan Muhyiddin melepaskan jawatan secara sukarela dan membuka laluan kepada pemimpin lain adalah sikap yang terpuji.
“Banyak komentar yang tidak tepat mengenai TSMY. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan memfitnah PAS serta memandang serong pada TSMY. Kita tahu tujuannya.
“Pada saya kejujuran seseorang amat penting dalam politik. Ia sangat berharga. Pada masa yang sama, kerumitan akan sentiasa kita temui dalam berorganisasi. Namun “wisdom” sukar dicari,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak bertenang dan mengelakkan spekulasi, selain turut menzahirkan terima kasih kepada Muhyiddin atas segala khidmat bakti memimpin PN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




