5 pegawai imigresen cedera, MPV dinaiki kemalangan dengan 5 kenderaan

5 pegawai imigresen cedera, MPV dinaiki kemalangan dengan 5 kenderaan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan lima kenderaan di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Kenderaan JIM terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas selesai tugasan mengiring pendatang asing tanpa izin ke daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan pada 1.15 petang itu membabitkan lori, MPV milik JIM, kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaannya dan melanggar kenderaan lain.

“Kenderaan JIM terbabit dinaiki enam pegawai. Lima daripadanya mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi tidak cedera.

“Empat individu iaitu pemandu dan penumpang dua kereta termasuk lori tidak cedera,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top