5 pemain warisan baharu boleh beraksi menentang Vietnam

5 pemain warisan baharu boleh beraksi menentang Vietnam

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian puluhan ribu penyokong skuad Harimau Malaya untuk melihat aksi lima tonggak warisan terbaharu negara pada perlawanan wajib menang ke atas Vietnam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nyata menjadi kenyataan.

Ini selepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Fifa sudah memberi lampu hijau untuk skuad Harimau Malaya menyenaraikan lima tonggak warisan itu sekali gus dibenarkan menyarung jersi negara.

Menerusi satu kenyataan media dikongsikan FAM, badan induk tempatan itu mengesahkan pihaknya sudah menerima kelulusan Fifa membabitkan pemain berkenaan.

“FAM ingin memaklumkan bahawa kelima-lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada Fifa dan boleh beraksi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

“Dengan ini Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado bakal membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi itu,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, menerusi laporan khas muka depan akhbar Harian Metro melaporkan susur galur membabitkan Malaysia dan Argentina atau di sekitar Amerika Latin sememangnya wujud.

Perkahwinan campur secara individu adalah punca utama bagaimana benih Malaysia berada di benua terbabit yang akhirnya memberi kelebihan buat industri sukan negara khususnya pasukan bola sepak kebangsaan ketika ini.

Hujahan itu dikuatkan dengan pandangan pakar sejarah dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Nur Dayana Mohamed Ariffin yang menganggap kehadiran ramai darah campuran dengan benua Amerika Selatan itu disebabkan oleh perkahwinan secara individu.

Nur Dayana yang memiliki kepakaran dalam bidang sejarah antarabangsa mengakui, hubungan antara nusantara atau lebih tepat Tanah Melayu dengan negara-negara di seberang lautan Pasifik itu tidak banyak yang berlaku berbanding tiga negara iaitu Portugal, United Kingdom dan Jepun yang pernah menjajah negara ini oleh bangsa Portugis, Inggeris dan Jepun.

Katanya, sejak zaman dahulu kala, faktor migrasi antarabangsa yang membabitkan pergerakan atau perpindahan penduduk melintasi sempadan benua dalam tempoh tertentu sama ada secara tetap atau sementara tidak pernah ada secara langsung dengan Amerika Selatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud hubungan secara tidak langsung membabitkan perkahwinan individu khususnya pada tahun sekitar 70an apabila berlakunya bergolakan di negara seperti Argentina dan Chile.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top