bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membuat lima sekatan jalan raya yang beroperasi 24 jam berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib, berkata sekatan jalan raya itu membabitkan satu yang beroperasi secara tetap iaitu dari arah keluar masuk Shah Alam di Plaza Tol Bukit Jelutong, manakala empat yang lain adalah secara bergerak.
“Empat sekatan jalan raya bergerak itu dikendalikan balai (kawasan pentadbiran IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan Seksyen 6.
“Ia dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Jelutong menghala ke Shah Alam, di sini, petang tadi.
Ketika sidang media berlangsung, beliau dan pengamal media dikejutkan dengan sebuah khemah sekatan jalan raya di sebarang jalan dari arah Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur diterbangkan susulan angin kuat secara tiba-tiba ketika itu.
Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat mengejar khemah sebelum mengusung khemah terbabit ke lokasi asal.
Mengulas keadaan itu, Baharuddin berkata, itu antara dugaan dan cabaran tugasan yang dihadapi anggota di lapangan.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menggerakkan 10 pasukan pemantau di lapangan bagi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.
“Kita juga ada pasukan khas ‘Man in Black’ bagi memantau pematuhan SOP dan pencegahan jenayah menjelang sambutan Aidilfitri termasuk rondaan pemantauan pematuhan PKP pada hari raya dari rumah ke rumah.
“Seramai 26 pegawai dan 147 anggota terbabit dalam penugasan berkaitan COVID-19 dan pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri Khamis ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd