am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lima suspek lelaki termasuk suspek utama yang dipercayai membunuh seorang lelaki warga asing sebelum menanamnya di Bandar Sentosa, Klang dekat sini pada 20 Julai lalu, akan dituduh di Mahkamah Klang, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk tuduh kesemua suspek.
“Suspek utama berusia 34 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan mayat, manakala empat lagi suspek akan dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, kesemua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan semua pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Klang esok, 7 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamalariffin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Klang Selatan membuka kertas siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas seorang wanita warga asing tampil memberi maklumat pada 23 Julai lalu berhubung kes bunuh pada 20 Julai di sebuah rumah kedai di Lorong Laksamana 20, Bandar Sentosa, Klang dekat sini.
“Siasatan mendapati, simati adalah seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun ditikam di bahagian badan dan leher oleh teman seorang.
“Semasa kejadian terdapat seramai tujuh lelaki termasuk simati dan dua perempuan warga asing di rumah itu.
“Perselisihan faham di antara seorang suspek dan simati ketika minum minuman keras mencetuskan pertengkaran mulut, lalu suspek menikam simati.
“Kemudian, enam lelaki yang berada di rumah itu membawa dan menanam simati di kawasan tapak pelupusan sampah kira-kira satu kilometer dari rumah itu,” katanya.
Susulan maklumat itu katanya, polis menangkap lima suspek lelaki dan dua perempuan warga asing berusia antara 20 hingga 34 tahun bagi membantu siasatan.
“Melalui suspek yang ditangkap, pihak polis berjaya menemui mayat simati yang ditanam dan senjata pisau yang digunakan semasa kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd