50 penggiat seni terima Diploma Kemahiran daripada Akademi Kreatif Meatech

50 penggiat seni terima Diploma Kemahiran daripada Akademi Kreatif Meatech

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 50 penggiat seni antara 120 graduan daripada pelbagai program kemahiran kreatif dan teknikal yang diraikan di Majlis Konvokesyen kelapan Akademi Kreatif Meatech, di sini, hari ini.

Mereka termasuk Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac yang menerima Diploma Kemahiran Tahap 4 dalam jurusan Koordinasi Pengarahan Filem.

Sewaktu ucapan perasmian, Hans yang turut hadir sebagai penyampai sijil pada majlis itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab FINAS memberi peluang kepada penggiat industri untuk kuasai bidang akademik.

“Jika tidak silap, sekarang ada hampir 3,000 penggiat kreatif yang perlu kami jaga dan sokong. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memperkukuh dan memajukan industri. Pembaharuan pasti akan berlaku.

“Namun, saya belum boleh mengumumkan secara rasmi buat masa ini,” katanya.

FINAS memberi sokongan untuk mempersijilkan 50 graduan terbabit melalui kaedah pengiktirafan pencapaian terdahulu (PPT) di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia dengan kerjasama Akademi Kreatif Meatech.

Acara berlangsung di Menara Felda Platinum Park, di sini itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kreatif Meatech, Shahralin Abd Hamid.

Hans juga sempat mengimbau perjalanan kerjaya seninya ketika mula melangkah ke dalam industri lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, ramai dikalangan selebriti yang bergelar graduan itu cukup dikenali rapat.

“Industri ini bukan mudah, tiada jalan pintas dan tiada akreditasi formal ketika itu. Saya belajar di lokasi penggambaran, belajar pengarahan daripada sahabat saya Datuk Afdlin Shauki.

“Saya belajar seni arahan daripada Aziz M Osman dan teknik lakonan daripada Nasir Bilal Khan. Itulah universiti sebenar kami, belajar melalui pengalaman dan bimbingan orang lama.

“Tanpa disiplin, kerjasama dan sokongan satu sama lain, kita tidak akan mampu mencapai pengiktirafan atau kredibiliti sebenar industri ini. Bakat itu penting, seni itu subjektif, tetapi kerja keras adalah objektif,” katanya.

Selain Hans, turut bergraduasi adalah pengarah Afdlin Shauki, Zed Zaidi, Riezman Khuzaimi, Kuna Muzani, Datuk Fizz Fairuz, Shahz Jaszle, Pekin Ibrahim, Esma Daniel, Zizan Nin, dan ramai lagi.

Mereka menerima sijil dalam jurusan Koordinasi Pengarahan Filem, Seni Lakon Teater & Kejurulatihan Lakon, serta Video/Filem Penggambaran.

Sementara itu, Shahralin berkata konvokesyen tahun ini bukan sahaja meraikan graduan kami tetapi juga mempamerkan semangat bertenaga industri kreatif Malaysia.

“Kami percaya bahawa gabungan latihan teknikal dan pendedahan industri yang kami sediakan akan terus melahirkan graduan lebih cekap untuk pasaran kerja,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan pada 2010, Akademi Kreatif Meatech kekal komited memupuk bakat mahir bidang kreatif dan teknikal.

Ia termasuk Reka Bentuk Grafik, Multimedia Interaktif, Media Digital (Filem & Video) dan lain-lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top