500 liter diesel dirampas, KPDN perhebat Ops Bersepadu

500 liter diesel dirampas, KPDN perhebat Ops Bersepadu

am@hmetro.com.my

Kuching: Sejumlah 500 liter minyak diesel dirampas dalam satu operasi bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam.

Operasi kira-kira jam 6.40 petang itu dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu sekitar Jalan Batu 8 Kuching–Serian dan Jalan Moyan.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah lori yang ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak diesel dianggarkan 500 liter yang disimpan dalam kotak besi yang diubah suai, dipercayai untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lori itu juga disyaki digunakan untuk menyimpan serta mengangkut diesel secara tidak sah.

Susulan itu katanya, pihak penguat kuasa bertindak menyita beberapa barangan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Antara yang dirampas ialah sebuah lori jenis Hino, satu unit anak kunci kenderaan, 500 liter minyak diesel serta dua salinan resit pembelian.

“Nilai rampasan diesel dianggarkan RM1,075 manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah RM11,075,” katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan mencurigakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top