Putrajaya: Seramai 5,032 daripada 413,299 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 tidak hadir menduduki peperiksaan itu dengan pelbagai faktor dikenal pasti sebagai punca ketidakhadiran, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata antara punca paling lazim ialah bekerja, berpindah ke luar negara, kemalangan, masalah keluarga, isu kesihatan, kekangan pengangkutan, meninggal dunia dan ditahan pihak berkuasa.
“Banyak faktor, jadi kita sebenarnya tahu murid-murid daftar SPM ini bermula awal tahun. SPM akan berlaku pada bulan 11 (November). Jadi dalam jarak masa yang panjang, pelbagai faktor boleh berlaku,” katanya pada sidang media pengumunan keputusan SPM 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata angka itu menunjukkan penurunan seramai 1,214 orang berbanding 6,246 calon yang tidak hadir pada 2024.
“Hal ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pelbagai pihak berkepentingan. Perkara ini akan terus ditangani KPM dengan bijaksana,” katanya.
Mengulas penurunan bilangan calon memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- dalam SPM 2025 kepada 13,779 calon berbanding 13,827 pada 2024, Mohd Azam berkata penurunan itu bukan sesuatu yang membimbangkan kerana terdapat peningkatan dalam bilangan calon yang memperoleh gred A+.
“Calon SPM 2025 melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang panjang dan berkesinambungan, iaitu bermula prasekolah, sekolah rendah selama enam tahun dan sekolah menengah selama lima tahun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata KPM akan meneliti faktor yang menyumbang kepada perubahan tersebut sebelum mengambil tindakan susulan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.
Mengulas pencapaian calon SPM 2025 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sejak awal persekolahan menengah, beliau berkata prestasi membanggakan pada peperiksaan itu mencerminkan daya tahan tinggi pelajar.
“Proses PdP (Pengajaran dan Pembelajaran) yang dilalui selama 11 atau 12 tahun penuh dengan cabaran. Berkat nyala rasa guru yang tidak pernah betah untuk mencanai pelbagai intervensi demi intervensi bagi membangunkan potensi anak murid, akhirnya murid diasuh dan dididik dalam bilik darjah gagah melangkah dengan daya ketahanan diri tinggi sehingga mampu menduduki peperiksaan SPM 2025,” katanya.
Beliau berkata pelbagai intervensi dan penyelarasan dasar dilaksanakan secara berterusan melibatkan KPM, JPN, PPD dan sekolah bagi memastikan proses PdP kekal berkualiti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




