Jakarta: Seramai 53 banduan melarikan diri dari penjara di Kota Sorong, di wilayah Papua Barat Daya, timur Indonesia pada 7 Januari, kata pihak berkuasa.
Ketua Polis Kota Sorong Cif Komisioner Happy Perdana Yudianto berkata, pada kejadian kira-kira 11 pagi itu, hanya enam daripada 53 banduan yang melarikan diri dari Penjara Kelas II B di Penjara Sorong itu, berjaya ditangkap semula.
Beliau berkata, polis sedang berusaha untuk menangkap semula semua banduan yang melarikan diri, lapor The Straits Times.
“Usaha yang kami lakukan juga termasuk menghalang jalan di luar Kota Sorong, pelabuhan, dan lapangan terbang sambil mengumpulkan data mengenai banduan yang melarikan diri,” kata Happy Perdana.
Beliau berkata, banduan yang melarikan diri itu dipenjarakan kerana jenayah umum dan kesalahan dadah.
Sementara itu, Ketua Penjara Sorong, Manuel Yenusi berkata, kejadian banduan lari beramai-ramai pada pagi Ahad itu selepas rutin berdoa selesai.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 11 pagi, sekumpulan banduan mengancam dua pegawai penjaga dan melemparkan mercun sehingga berlaku letupan. Kemudian, puluhan banduan melarikan diri,” katanya.
Sebelum kejadian melarikan diri itu, Penjara Sorong menampung 543 banduan yang jauh melebihi kapasitinya sebanyak 250.
© New Straits Times Press (M) Bhd