am@hmetro.com.my
Pontian: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok di sini, masih menempatkan 54 mangsa banjir kilat terdiri daripada 15 keluarga terjejas, setakat pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah mangsa banjir kilat di PPS itu mula berkurangan sejak jam 2 petang semalam, jika dibandingkan sebelum itu seramai 81 mangsa daripada 23 keluarga.
“Mangsa di PPS berkurang kepada 59 orang daripada 26 keluarga pada jam 2 petang semalam dan kemudian terus berkurang kepada 54 orang daripada 15 keluarga pada 12 tengah malam tadi.
“Mereka yang masih di PPS ini adalah penduduk Kampung Makam, Penerok dan Kampung Parit Bugis yang terjejas dengan banjir kilat sejak kelmarin,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Asman Shah yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, cuaca di semua daerah di negeri ini juga dilaporkan cerah setakat jam 8 pagi ini.
Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiada sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



