542 anggota trafik pantau lokasi hotspot, blackspot seluruh Selangor

542 anggota trafik pantau lokasi hotspot, blackspot seluruh Selangor

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Seramai 542 anggota polis trafik digerakkan bagi memantau 53 lokasi ‘hotspot’ dan 34 lokasi ‘blackspot’ di seluruh Selangor sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena musim perayaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi itu dilaksanakan menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bermula Khamis ini hingga 24 Mac bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta meminimumkan kadar kemalangan.

Katanya, sebagai langkah awal Op Lancar turut diatur gerak lebih awal iaitu Rabu ini hingga 29 Mac bagi mengawal titik kesesakan utama di seluruh negeri.

“Selaras dengan komitmen dalam menjamin kesejahteraan komuniti, Polis Kontinjen Selangor menerusi JSPT Selangor menggerakkan kempen dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai satu inisiatif awal bagi menyahut objektif utama Op Selamat 26.

“Operasi selama enam hari ini memfokuskan kepada kelancaran aliran trafik serta usaha meminimumkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan,” katanya pada sidang media program Kempen dan Advokasi sempena Aidilfitri, di Plaza Tol PJS 2, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, operasi itu membabitkan 41 Pegawai Kanan Polis (PKP) dan 501 Pegawai Rendah Polis (PRP) yang ditempatkan di lapangan.

Beliau berkata, penugasan berkenaan turut disokong dengan 70 kereta peronda serta 148 motosikal pelbagai jenis bagi memperkukuh rondaan dan pemantauan trafik.

“Pemantauan turut tertumpu di 23 lokasi strategik merangkumi 16 daerah bagi penguatkuasaan had laju dan kawalan aliran trafik,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, satu elemen penting bagi memastikan pergerakan trafik lebih lancar adalah larangan pemanduan kenderaan barangan pada Khamis hingga Jumaat ini serta 28 hingga 29 Mac.

“Larangan ini terbahagi kepada tiga kategori utama. Kategori pertama melibatkan lori pengangkut kenderaan, lori jongket melebihi 7.5 tan, lori balak serta jentera berat yang dilarang berada di jalan raya sepanjang masa.

“Kategori kedua merangkumi lori kontena, lori elektronik dan lori tanpa muatan yang dilarang beroperasi dari jam 8 malam hingga 8 pagi.

“Kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen yang dilarang dari 6 petang hingga 6 pagi dalam radius 25 kilometer (km) dari tapak pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan waktu larangan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Rule 2, PU(A)028/2019 yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000 kecuali bagi jentera berat dan kren bergerak yang terbabit dalam kerja kecemasan.

Katanya, pelaksanaan operasi itu turut diperkukuhkan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk JPJ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memperluas pemantauan dan kawalan trafik di negeri ini.

“Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau ingin menyalurkan maklumat berkaitan trafik boleh menghubungi Bilik Gerakan JSPT Selangor di talian 03-5510 0559 atau CCC Selangor di 03-5514 5206,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top