542 PATI dihantar pulang ke Filipina

542 PATI dihantar pulang ke Filipina

KOTA KINABALU: Seramai 542 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dari tiga depot tahanan di Sabah diusir pulang melalui pengangkutan laut, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan PATI yang terlibat adalah Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau.

Beliau berkata, kesemua tahanan dipindahkan melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Penghantaran pulang itu dilakukan menerusi program pemindahan tahanan PATI siri kelapan yang membabitkan PATI berusia 23 bulan ke bawah hingga 78 tahun.

“Semua kanak-kanak termasuk empat tahanan berusia empat tahun ke bawah dihantar pulang bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semua PATI yang ditahan di depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Aka Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Aka Imigresen dan proses
perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Justeru, semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negara ini.

Tambah beliau, semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini dilakukan dengan kerjasama pihak kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tentera Bersama 2 dan agensi-agensi lain.

Jelasnya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.- utusan