am@hmetro.com
Nibong Tebal: Seramai 55 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang dikenal pasti melakukan kesalahan integriti terutama berhubung kegiatan ‘counter setting’ dibuang kerja sejak 2022 hingga tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, berkata berdasarkan rekod bagi tempoh tiga tahun ini pihaknya mengambil tindakan tatatertib terhadap 147 anggota dan pegawai yang bermasalah.
Katanya, ia membuktikan tindakan yang diambil itu bukan bermusim sebaliknya ia dilakukan sepanjang masa.
“Sebenarnya sepanjang masa memang kita memantau anggota dan pegawai melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi bersepadu di sebuah kilang di Bukit Tambun, di sini, hari ini.
Zakaria berkata demikian bagi mengulas isu ‘counter setting’ yang kerap dikaitkan dengan JIM susulan penahanan beberapa pegawai dari agensi itu, baru-baru ini.
Zakaria berkata, pihaknya akan berbincang dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sekiranya terdapat keperluan untuk menukar mana-mana pegawai agensi itu yang didapati melakukan salah laku terutamanya berhubung kegiatan ‘counter setting’.
Katanya, JIM sudah menyerahkan sepenuhnya pengurusan 22 pintu masuk utama negara kepada AKPS termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, selain lapangan terbang di Pulau Pinang, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Cuma pegawai kita (JIM) masih lagi menjadi pegawai yang menguruskan operasi harian di lapangan terbang berkenaan.
“Bagi urusan untuk ‘counter setting’ memang sudah menjadi tanggungjawab AKPS yang mana pihak imigresen cuma membantu dari segi aspek risikan, pemantauan dan sebagainya sebelum maklumat disalurkan kepada AKPS untuk ambil tindakan.
“Untuk rombakan (tukar anggota), kita akan berbincang dengan AKPS, jika ada keperluan untuk kita keluarkan mana-mana pegawai yang bermasalah, dikenal pasti melakukan salah laku, kita akan bagi kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, JIM turut memperluaskan penggunaan sistem pagar automatik di pintu masuk negara bagi mengurangkan interaksi antara pegawai dan pengembara dalam usaha mengurangkan kegiatan ‘counter setting’.
© New Straits Times Press (M) Bhd