550 pesilat Malaysia, Indonesia berentap di Temerloh

550 pesilat Malaysia, Indonesia berentap di Temerloh

Seramai 550 pesilat Malaysia dan Indonesia berentap dalam Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali Keempat 2023.

SERAMAI 550 peserta melibatkan 30 buah pasukan seluruh negara serta Indonesia berentap mempamerkan kehebatan mereka dalam Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali Keempat 2023 yang membuka tirainya secara rasmi di Dewan Tun Razak di sini pada Sabtu.

Kejohanan anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM) dengan kerjasama kerajaan negeri itu buat julung kalinya mempertaruhkan piala tersebut sempena penghargaan terhadap pesilat dan juara dunia, Al Jufferi Jamari yang juga anak jati Pahang.

Yang Dipertua PSCHM, Datuk Osman Nok memberitahu, beliau gembira kerana kejohanan itu terus mendapat sambutan menggalakkan termasuk penyertaan pesilat luar negara.

Menurutnya, tiga kategori dipertandingkan iaitu usia tujuh hingga 12 tahun, remaja (13 – 16 tahun) dan dewasa (17 tahun – 40 tahun) dalam kejohanan yang berlangsung selama empat hari tersebut.

“Pesilat bukan sahaja dari negeri Pahang namun dari negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk persatuan silat dari Indonesia yang bakal memberikan saingan hebat,” kata Osman pada sidang media sempena majlis perasmian kejohanan tersebut.

Hadir sama, Penaung PSCHM, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Yang Dipertua Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Sementara itu, Mohd Sharkar memuji penganjuran kejohanan itu sekali gus dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam seni bela diri tersebut yang juga antara sukan yang diterima di peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, ia juga menjadi platform terbaik bagi seni bela diri tersebut terus dapat bertahan di negara ini.

“Selain itu, menerusi kejuaraan silat yang diadakan di daerah ini juga dilihat dapat memperkenalkan Temerloh kepada orang luar sebagai destinasi pelancongan.

“Kalau sebelum ini, mungkin mereka hanya mendengar mengenai ikan patin yang menjadi ikon daerah Temerloh tapi kali ini, mereka dapat merasakan suasana itu dan melalui pengalaman itu, mereka dapat mempromosikan daerah ini secara tidak langsung,” kata Mohd Sharkar lagi.