5,527 mangsa banjir di PPS, Pahang teramai

5,527 mangsa banjir di PPS, Pahang teramai

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 5,527 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dan Terengganu setakat pagi ini dengan Pahang kekal sebagai negeri paling terjejas.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 4,993 mangsa (1,687 keluarga) berada di 41 PPS di Pahang yang dibuka sejak 16 Disember lalu, membabitkan tujuh daerah iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Bera, Rompin, Maran dan Temerloh.

Sementara itu, di Terengganu, seramai 534 mangsa daripada 177 keluarga masih berlindung di lima PPS yang dibuka di Kemaman dan Dungun.

Dalam perkembangan berkaitan, data Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan dua sungai di Pahang melebihi paras bahaya setakat 7 pagi, iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan (trend menurun) dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (trend menaik).

Di Sarawak, Sungai Nanga Lemai B di Sibu turut melepasi tahap bahaya sekitar 6 pagi, namun menunjukkan trend menurun. Beberapa sungai lain di Sarawak, Johor dan Selangor pula dikesan berada pada paras amaran dan waspada.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak sehingga jam 9 pagi hari ini.

Daerah terbabit termasuk Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu serta Miri (Subis). Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top