bhnews@bh.com.my
KUALA NERUS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memandang serius kegiatan penipuan timbang buah kelapa sawit yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata setakat ini sebanyak 56 pemegang lesen pembelian buah kelapa sawit yang melakukan penipuan timbangan sudah dikenakan tindakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi ke atas pemegang lesen yang melakukan penganiayaan ke atas pekebun kecil sawit.
“Saya dimaklumkan ada di antara mereka (pemegang lesen) diberikan amaran, lesen digantung sementara, selain sudah dibatalkan lesen.
“MPOB akan mengambil tindakan dengan lebih tegas dan serta-merta ke atas pihak yang didapati menindas pekebun kecil,” katanya selepas merasmikan majlis sumbangan Kasih Ramadan dan Hari Raya 2021 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, bagi mengelakkan kes penipuan timbangan buah kelapa sawit, kementeriannya dan MPOB kini sedang membangunkan sistem aplikasi RRIMniaga sama seperti digunakan untuk urusan pembelian getah.
“Melalui sistem aplikasi ini, penipuan timbangan buah kelapa sawit bukan saja mampu diselesaikan, malah MPOB dapat melakukan pengesanan pemilik sebenar ladang kelapa sawit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd