harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Langat: Seramai 56 petugas media bergelut ‘digasak’ pegawai komando dalam latihan ala tentera selama 24 Jam sempena Hari Bersama Media Kementerian Pertahanan 2024 (HBM).
Program selama satu hari itu diadakan di Pangkalan Udara Jugra, di sini bermula semalam membabitkan petugas media dari pelbagai agensi serta jurulatih terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas TUDM (Paskau).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, meluahkan rasa kagum ke atas petugas media dan mengucapkan tahniah kerana berjaya mengharungi cabaran yang disediakan.
“Tahniah (media) kerana masih bertenaga dan berdiri setelah 24 jam, survive (bertahan) 24 jam. Tahniah saya ucapkan.
“Hari ini apabila kita adakan program sedemikian bukan kerana hendak tengok media hebat atau tidak, tetapi luar jangkaan memang survive, memang hebat.
“Secara umum inilah yang sebenarnya ditunjukkan anggota tentera kita selain cabaran sebenar dalam dunia pertahanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup HBM 2024 di Lapang Sasar Menembak Jugra, Batu Hampar di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Jeneral Muhamad Norazlan; dan Panglima Operasi Udara, Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail.
Mohamed Khaled berkata, program berkenaan adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan (Mindef) mengeratkan lagi hubungan bersama media.
Katanya, tanggungjawab menjaga kedaulatan negara tidak hanya terletak pada Mindef malah ia memerlukan bantuan daripada semua golongan masyarakat termasuk media yang perlu memainkan peranan masing-masing.
Sementara itu wartawan, Muhammad Afham Ramli menyifatkan pengalaman diperoleh daripada program HBM 2024 berkenaan sebagai sesuatu yang unik, istimewa dan tidak dapat dilupakan.
Katanya, pengalaman merasai latihan ketenteraan bakal menjadi kenangan sukar dilupakan kerana digasak oleh sepasukan individu elit iaitu pasukan komando Paskau sendiri.
“Bagi mereka (Paskau) latihan yang kami jalani selama 24 jam ini memang mudah, tetapi bagi petugas media macam saya yang jarang bersukan ia agak mencabar terutama ketika cabaran mendaki Bukit Jugra.
“Walaupun penat tetapi saya gembira kerana dapat merasakan pengalaman menembak menggunakan senapang M4, night vision goggle (NVG), dan latihan abseiling.
“Pengalaman seperti ini bukan mudah diperoleh terutama sebagai orang awam malah kami juga diberi peluang menyaksikan demonstrasi khas membabitkan operasi Paskau,” katanya.
Harian Metro diwakili Pengarang Berita, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan wartawan, Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Petugas media dibahagikan kepada lima kumpulan dan diarahkan melaksanakan lima cabaran iaitu menembak menggunakan senjata M4, mendaki Bukit Jugra, memasak ransum tempur, merentas halangan, abseiling dan pertandingan menembak.
© New Straits Times Press (M) Bhd