am@hmetro.com.my
Bukit Jalil: Biduanita Negara, Datuk Seri SitiNurhaliza, 46, tidak menyangka jualan tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, ‘Passion, Sincere And Love’ yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Januari depan laris terjual dalam tempoh dua minggu.
Siti berkata, setakat ini, hanya tinggal 2,000 tiket sahaja lagi dari sebanyak 58,000 tiket yang sudah terjual.
“Alhamdulillah, tiket konsert itu mendapat sambutan dan hanya tinggal sebanyak 2,000 tiket sahaja lagi membabitkan kategori VIP, Platinum dan tinggal sikit sahaja untuk kategori Gold.
“Sebenarnya, saya pun ‘nervous’ (gementar) dan beritahu pada Kak Rozi (pengurus) boleh ke buat konsert ini sebab ‘back to back’ juga konsert yang berlangsung di Malaysia dan kali ini, kita pilih Stadium Nasional dan bukan Stadium Axiata.
“Tapi tak sampai sebulan maknanya dalam tempoh dua minggu sahaja tiket konsert sudah terjual lebih dari 50 peratus,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album tradisional terbaharunya berjudul Gema Bumantara, semalam.
Mengulas persiapan pula, kata Siti, dia akan memulakan sesi latihan untuk konsert berkenaan pada minggu kedua bulan depan (November).
Katanya, dia juga menjanjikan yang terbaik dengan pilihan lebih dari 25 lagu hits yang menepati cita rasa peminat dalam durasi konsert hampir tiga jam itu.
“Apa yang penting penonton yang datang berasa puas hati dengan sistem bunyi yang bagus dan mendapat kepuasan untuk menontonnya.
“Apapun, doakan saya sihat kerana takut juga keadaan cuaca negara kita hujan atau banjir dan saya berharap pada tarikh konsert itu semuanya okay nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




