am@hmetro.com.my
Putrajaya: Program saringan Talasemia dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan pelajar sejak 2016 menampakkan hasil positif apabila kadar kelahiran bayi baharu dengan penyakit itu menurun secara konsisten setiap tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program menyasarkan pelajar Tingkatan Empat yang dipilih menjalani saringan selepas mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga.
Menurutnya, sejak 2016 hingga Disember 2024, seramai 3.51 juta pelajar ditawarkan menjalani saringan dan daripada jumlah itu, lebih 2.09 juta (59.6 peratus) menerima tawaran.
Katanya, seramai 1.8 juta pelajar (89.6 peratus) mendapat keizinan ibu bapa dan bersetuju untuk menjalani saringan.
“Daripada jumlah pelajar yang disaring, 1.79 juta berjaya menjalani ujian dengan kadar pelaksanaan sebanyak 95.9 peratus. Hasil saringan menunjukkan 58,428 pelajar dikenal pasti sebagai pembawa Talasemia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Kedua Penghidap dan Penjaga Talasemia di sini, semalam.
Dr Dzulkefly berkata, sejak program saringan itu dijalankan, kadar kelahiran bayi baharu dengan Talasemia menurun secara konsisten, sekali gus membuktikan kesedaran masyarakat semakin meningkat.
Menurutnya, apabila seseorang mengetahui status Thalasemia mereka boleh membuat keputusan lebih bijak termasuk memilih pasangan yang bukan pembawa gen itu.
Katanya, ini penting untuk mengelakkan risiko anak mewarisi penyakit tetapi turut meningkatkan tahap literasi kesihatan masyarakat terhadap penyakit genetik itu.
“KKM menawarkan saringan secara sukarela di klinik kesihatan termasuk kepada pasangan berkahwin, ibu mengandung dan kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




