PETALING JAYA: Seramai 59 individu termasuk 42 wanita warga asing ditahan dalam serbuan Ops Noda di enam premis hiburan dan refleksologi yang dipercayai menawarkan khidmat persundalan di Lembah Klang, Khamis lalu.
Menurut sumber, serbuan dilakukan selepas keenam-enam premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan hiburan dan persundalan dengan menawarkan wanita warga asing kepada pelanggan.
“Pemeriksaan mendapati tangkapan membabitkan dua warga tempatan, 39 warga Myanmar, Thailand (12), Vietnam(5) dan seorang Indonesia.
“Pelbagai barangan turut dirampas antaranya telefon bimbit, kondom, tisu basah, peralatan audio serta wang tunai.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai penglibatan warga asing dalam menjalankan aktiviti hiburan dan persundalan,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Operasi Op Noda yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Klang, Petaling Jaya, Kajang dan Kuala Langat.
Sementara itu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, operasi bersepadu itu turut membabitkan tindakan penguatkuasaan oleh PBT dan TNB terhadap premis terbabit.
Menurutnya, PBT menyita premis yang terlibat, manakala TNB bertindak memotong bekalan elektrik di kesemua premis berkenaan.
“Beberapa kertas siasatan telah dibuka antaranya di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat persundalan.
“Ia turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah,” katanya.
Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, IPD Kajang, IPD Klang Utara serta IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
“JSJ menegaskan pihaknya akan terus bersikap proaktif dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat, termasuk kegiatan persundalan.
“Orang ramai diminta bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat diambil dengan kadar segera,” katanya.- UTUSAN




