59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu – UNICEF

59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu – UNICEF
59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu – UNICEF

Asap kelihatan berkepul dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan perkampungan Al-Halloussiyah di selatan Lubnan pada 13 Mei 2026. Foto AFP

BEIRUT – Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu walaupun perjanjian gencatan senjata dikuat kuasa, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, lapor Xinhua.

UNICEF turut memberi amaran mengenai kesan fizikal dan psikologi yang semakin buruk terhadap kanak-kanak yang terselamat.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terbunuh manakala 93 cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, menjadikan angka korban kanak-kanak sejak 2 Mac kepada 200 manakala 806 cedera.

Pada Rabu sahaja, sekurang-kurangnya 33 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh susulan peningkatan serangan Israel di selatan dan tengah Lubnan, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dan media tempatan.

“Kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain bersama rakan-rakan dan pulih daripada ketakutan serta pergolakan selama berbulan-bulan,” kata Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder.

Beigbeder berkata, walaupun perjanjian itu bertujuan menghentikan keganasan, kanak-kanak masih terus menjadi mangsa trauma dan serangan berulang yang boleh memberi kesan sepanjang hayat.

UNICEF turut memberi amaran bahawa lebih 770,000 kanak-kanak di Lubnan mengalami tekanan psikologi yang semakin meningkat akibat pendedahan berulang kepada keganasan, pemindahan dan kehilangan.

Gejala yang dialami kanak-kanak serta penjaga termasuk ketakutan, keresahan, mimpi buruk, insomnia dan putus asa. – Bernama-Xinhua

 

 

 

 

Scroll to Top