PETALING JAYA: Malaysia mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, malam ini, namun keputusan itu belum cukup untuk membawa Harimau Malaya ke final.
Harimau Malaya gagal ke final selepas Indonesia membelasah Bangladesh 9-2 di Stadium Gelora Bung Karno, sekali gus mengatasi Malaysia menerusi kelebihan jaringan.
Malaysia dan Indonesia mengumpul jumlah mata yang sama, namun kemenangan besar Indonesia menyebabkan skuad Garuda muncul wakil Kumpulan A ke pentas final, manakala Harimau Malaya terpaksa akur ke penentuan tempat ketiga.
Memuatkan artikel berkaitan…
Dalam aksi di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia, Bergson da Silva membuka tirai jaringan Malaysia pada minit kelapan menerusi sepakan penalti selepas Fergus Tierney dijatuhkan Ryhan Stewart di dalam kotak penalti Singapura.
Jaringan awal itu memberikan suntikan semangat kepada Harimau Malaya yang terus meningkatkan tekanan bagi memburu gol tambahan dalam usaha mendapatkan perbezaan jaringan lebih besar.
Pada minit ke-26, Malaysia menggandakan kelebihan menerusi Stuart Wilkin yang menyudahkan hantaran menarik Manuel Hidalgo dari dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bergson kemudian meledak gol keduanya selepas menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi, sekali gus memberikan Malaysia kelebihan selesa dan semakin dekat dengan sasaran kemenangan besar.
Paulo Josue yang dibawa masuk pada babak kedua turut mencetak nama sebagai penjaring gol keempat Malaysia, manakala Singapura semakin sukar untuk keluar daripada tekanan Harimau Malaya.
Malaysia terus mengasak dan pada minit ke-87 seorang lagi pemain gantian, Syahir Bashah meledak gol kelima untuk menambah penderitaan Singapura yang gagal mengekang kemaraan jentera serangan negara.
Bergson kemudian melengkapkan hatrik pada masa tambahan untuk memastikan Malaysia menutup tirai perlawanan dengan kemenangan 6-0 yang cukup bergaya.
Namun, kegembiraan Harimau Malaya bertukar hampa apabila keputusan di Stadium Gelora Bung Karno menyaksikan Indonesia membelasah Bangladesh 9-2, menjadikan kelebihan jaringan memihak kepada skuad Garuda.
Kemenangan besar Malaysia akhirnya tidak mencukupi untuk mengubah kedudukan kumpulan apabila Indonesia mara ke final menerusi kelebihan jaringan untuk berdepan Thailand pada Isnin ini.- UTUSAN




