6 dihukum mati di Indonesia kerana cetus rusuhan penjara

6 dihukum mati di Indonesia kerana cetus rusuhan penjara

JAKARTA: Enam banduan dijatuhi hukuman mati di Indonesia kerana terlibat dalam rusuhan dan krisis tebusan pada 2018 di sebuah penjara kawalan maksimum, kata seorang pegawai mahkamah pada Khamis.

Pegawai pengutkuasa menyifatkan insiden berdarah itu sebagai “tindakan keganasan”.

Rusuhan di pusat tahanan Mako Brimob di Depok pinggir Jakarta itu mengakibatkan lima anggota pasukan anti-keganasan elit Indonesia, Densus 88, maut dalam kejadian yang berlangsung selama 36 jam.

Mahkamah Daerah Jakarta Timur menjatuhkan hukuman ke atas enam tahanan pada Rabu di bawah undang-undang keganasan negara itu, kata jurucakap mahkamah, Alex Adam Faisal sambil menambah semua enam tahanan menerima keputusan itu dan masih belum memfailkan rayuan.

Kumpulan Negara Islam melalui agensi berita Amaq ketika itu berkata pihaknya bertanggungjawab ke atas kejadian itu, tetapi polis Indonesia menolak dakwaan itu.

Menurut laporan media tempatan, kebanyakan mangsa mati akibat dikelar di leher.

Lebih daripada 150 tahanan terbabit dalam rusuhan itu dengan puluhan berjaya merampas senjata, termasuk senapang, dari stor simpanan senjata.

Penganalisis keselamatan, Stanislaus Riyanta, berkata Indonesia sejak sekian lama berjuang menentang gerakan militia di penjara, di mana beberapa pemimpin keganasan berjaya mempengaruhi penjara sekali gus mengubah tahanan lain menjadi puak radikal.

Walaupun pelaksanaan hukuman mati semakin menurun secara global, Indonesia menjatuhkan hukuman mati ke atas 117 orang pada tahun 2020, kebanyakannya atas kesalahan yang berkaitan dengan dadah, peningkatan sebanyak 46% menurut Laporan Hukuman Mati 2020 Amnesty International.

Scroll to Top