am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Tempoh antara jam 6 hingga 8 pagi dikenal pasti sebagai waktu puncak kemalangan membabitkan penunggang motosikal di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kebanyakan mangsa adalah individu berusia antara 16 hingga 40 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja atau institusi pengajian.
“Antara punca utama dikenal pasti termasuk mengekori terlalu rapat, gagal mengawal kenderaan hingga terbabas sendiri, selain faktor keletihan dan mengantuk,” katanya pada sidang media selepas operasi di KM28.4 Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini, hari ini.
Menurutnya, statistik kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 menunjukkan peningkatan ketara iaitu 35.1 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sebanyak 204 kes direkodkan tahun ini berbanding 151 kes pada 2024.
“Daripada jumlah itu, 34 kematian direkodkan setakat Mei lalu, berbanding 52 kes sepanjang tahun lalu,” katanya.
Shahrulnizam berkata, penunggang motosikal terus menjadi penyumbang utama kepada angka kematian jalan raya di Petaling Jaya, iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan kes kemalangan maut.
Beliau berkata, sikap memilih laluan utama berbanding lorong khas atas alasan ia lebih cepat atau keadaan laluan motosikal yang tidak sempurna turut menyumbang kepada risiko kemalangan.
“Tindakan ini bukan sahaja berisiko tinggi, malah boleh menyebabkan tuntutan insurans tidak dilindungi kerana mereka tidak menggunakan laluan yang ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd