6 individu didakwa kemuka dokumen palsu berkaitan pendaftaran kelahiran

6 individu didakwa kemuka dokumen palsu berkaitan pendaftaran kelahiran

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini atas kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pendaftaran kelahiran bayi.

Kesemua individu itu didakwa mengemukakan Borang Pendaftaran Kelahiran dan Surat Pemberitahuan Kelahiran yang mengandungi maklumat palsu bagi tujuan pendaftaran bayi sebagai warganegara sah Malaysia.

Penahanan itu dilakukan melalui operasi khas ‘Op Birth’, sebelum ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan pertuduhan terhadap keenam-enam individu itu dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

“SPRM menegaskan bahawa rasuah dalam urusan pendaftaran kelahiran merupakan perbuatan serius yang boleh menjejaskan rekod demografi negara, membuka ruang kepada penyalahgunaan identiti, serta mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Ia juga boleh mencetuskan pertikaian kekeluargaan serta memberi kesan sosial serta moral terhadap masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pendaftaran kelahiran palsu berlaku secara berleluasa, ia boleh membawa kepada penyalahgunaan hak kewarganegaraan, termasuk pengeluaran MyKad secara tidak sah, sekali gus menggugat integriti sistem pentadbiran negara.

Menurutnya, pihaknya juga sudah membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes berkenaan.

Katanya, pertuduhan itu hasil risikan awal Bahagian Perisikan SPRM, diikuti siasatan terperinci oleh SPRM Selangor sehingga membawa kepada pertuduhan di mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top