Kebanyakan kapal Malaysia yang membawa bekalan minyak mentah kini telah berjaya melepasi Selat Hormuz dan sedang dalam perjalanan ke negara ini, lapor BH Online.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada tujuh kapal yang terlibat, enam daripadanya telah selamat belayar melalui laluan berkenaan.
Bagaimanapun, sebuah kapal dilaporkan masih tertahan di pelabuhan akibat mengalami kerosakan teknikal.
“Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS) sebentar tadi memberitahu perkembangan mengenai kemudahan dan pengangkutan perjalanan kapal kita.
“Alhamdulillah semua terlepas… satu sudah pun hampir sampai, satu sudah berlepas cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan. Jadi yang enam lagi itu berjalan,” katanya.
Foto: BH Online
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara bagi bulan April dan Mei dijangka berada dalam keadaan terkawal, meskipun berdepan beberapa cabaran logistik.
“”Kita berharap bekalan minyak untuk April dan Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” ujarnya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
Sumber: BH Online (Suzalina Halid)




