am@hmetro.com.my
Ampang: Enam kenderaan rosak akibat runtuhan batu dari cerun bukit di Mutiara Court, Bukit Permai di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, anggota Balai Polis Pandan Indah menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada 10.45 pagi.
Menurutnya, runtuhan pertama dilaporkan berlaku pada 8.15 pagi dan runtuhan kedua berlaku jam 8.50 pagi.
“Hasil siasatan mendapati terdapat runtuhan batu dari cerun bukit di parkir lot kenderaan di lokasi kejadian.
“Insiden menyebabkan kerosakan enam kenderaan yang mana lima kenderaan berjaya dikeluarkan, manakala sebuah lagi iaitu Perodua Kancil mengalami kerugian menyeluruh (total lost).
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga sedang giat melaksanakan kerja pembersihan menggunakan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan batu berkenaan.
“Orang ramai diminta menghubungi pihak berkuasa sekiranya terkesan sebarang aktiviti membahayakan di kawasan cerun bukit itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




