bhnews@bh.com.my
Ipoh: Enam operasi pembersihan dalam tempoh 10 tahun dan tiga kali berdepan tindakan mahkamah masih gagal menghentikan seorang wanita warga emas daripada terus mengumpul sampah di kediamannya di sini, mendorong tindakan susulan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.
MBI menerusi kenyataan memaklumkan, operasi pembersihan bersepadu sekali lagi dijalankan ke atas kediaman wanita berusia 69 tahun itu susulan aduan berulang penduduk setempat berkaitan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula serta sampah yang disifatkan sudah tidak terkawal.
Menurut kenyataan itu, pemilik premis didapati terus menjalankan aktiviti berkenaan dan menyimpan barangan kitar semula di kawasan halaman rumah teres itu walaupun operasi pembersihan sudah dilaksanakan sebelum ini.
“Sejak 2016, enam operasi pembersihan sudah dilaksanakan di premis berkenaan, selain pemilik kediaman juga sudah dikenakan tindakan mahkamah tiga kali membabitkan hukuman denda serta perintah mahkamah.
“Keadaan kediaman itu menyebabkan kacau ganggu persekitaran serta berpotensi menjadi tempat pembiakan dan penyebaran penyakit bawaan vektor seperti nyamuk, lipas dan tikus,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MBI, operasi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama MBI.
Katanya, lima lori berkapasiti tujuh tan dan sebuah jengkaut digerakkan bagi operasi pembersihan itu dengan kekuatan seramai 27 anggota pembersihan.
“Barangan seperti plastik, kertas, besi dan kayu sudah dipindahkan sepenuhnya.
“Operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini,” kata kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




