am@hmetro.com.my
Baling: Enam sekeluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka di Kampung Seberang Pekan di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Suami isteri berusia 73 tahun bersama ahli keluarganya termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun dipercayai baru pulang mendengar ceramah agama dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Baling sebelum mendapati rumah mereka terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 9.07 malam tadi.
Beliau yang mengetuai operasi itu bersama sepasukan enam anggotanya tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di situ, didapati rumah kediaman dua tingkat kelas B (sementara) iaitu bawah batu dan bahagian atas pula kayu itu musnah 95 peratus.
“Sewaktu saya bersama anggota bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak.
“Kami turut menghadapi halangan akses yang sempit bagi jentera untuk masuk ke kawasan itu selain sikap orang awam yang berpusu-pusu berhampiran lokasi kebakaran menyukarkan jentera menghampiri lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zulkhairi berkata, operasi pemadaman kebakaran itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Lalang, Kuala Ketil dengan kekuatan 15 anggota.
Beliau berkata, operasi itu mengambil masa hampir satu jam untuk memastikan api dapat dipadam sepenuhnya serta mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman berhampiran yang jaraknya hanya dua meter.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
