mdroji@bh.com.my
Kuching: Polis yakin berjaya menyelesaikan kes tembak seorang lelaki di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini susulan penahanan enam suspek hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, semua suspek lelaki berusia antara 26 hingga 45 tahun itu ditahan antara jam 4 petang hingga 5.30 petang tadi.
Beliau berkata, semua suspek ditahan di lokasi berbeza sekitar bandar raya ini.
“Turut dirampas sebuah kereta dan sepucuk pistol berserta 10 butir peluru.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini terlibat dalam kejadian (tembakan) yang berlaku dan motif masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya lagi, kes itu berjaya dirungkai dalam tempoh kurang 12 jam dan kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, pada jam 5.30 pagi tadi, anggota Balai Polis Batu Kawa dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki yang membawa mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam kereta Perodua Myvi.
Dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka terkena tembakan ketika mereka melalui Jalan Stephen Yong.
Pemeriksaan mendapati mangsa terkena dua das tembakan masing-masing di kepala dan lengan kanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd