hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan enam warga Bangladesh dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di Klang Sentral, Klang, semalam.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu turut menahan lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun.
JIM dalam kenyataan berkata, sindiket berkenaan akan membawa masuk mangsa sebagai pelancong dan segala urusan pasport, visa dan tiket penerbangan mangsa diuruskan oleh sindiket.
“Seterusnya mangsa akan dibawa dan ditempatkan di ‘rumah transit’.
“Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari ‘rumah transit’ berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan penjaga premis berkenaan cuba untuk melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik dan berlaku sedikit pergelutan namun berjaya digagalkan,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi turut merampas tujuh naskhah pasport Bangladesh dan tujuh unit telefon pintar.
“Penjaga premis ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan ditempatkan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam, Selangor.
“Enam lelaki warga Bangladesh berusia 18 hingga 41 tahun yang diselamatkan dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




