Ipoh: Sebanyak 60 keluarga menerima bantuan secara sekali beri menerusi peruntukan kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun, susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu pada 16 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta Zulhisham Ahmad Shukori berkata, bantuan berkenaan disampaikan kepada para penerima yang berdaftar di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta (Ipoh) sehingga semalam.
“Jumlah ini adalah fasa pertama agihan dan kami jangkakan jumlah penerima akan meningkat disebabkan masih ada yang belum membuat pendaftaran (bantuan).
“Laporan penuh akan menyusul selepas selesai segala urusan melibatkan bantuan kepada para penduduk yang terjejas akibat banjir ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Penyerahan Bantuan Secara Sekali Beri kepada mangsa banjir di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta (Ipoh) di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan hujan luar biasa dengan taburan melebihi 80 milimeter (mm) dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir di beberapa kawasan termasuk di Manjoi.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi dengan menempatkan 10 keluarga melibatkan 26 mangsa semalam.
Zulhisham berkata pihaknya mengharapkan bantuan yang dihulur akan mengurangkan sedikit beban kepada penduduk terjejas untuk menyambut kedatangan Ramadan esok.
Dalam pada itu, beliau yang juga pegawai daerah Kinta berkata proses pelantikan kontraktor bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa Dua telah dimuktamadkan pada 14 Jan lepas.
“Kini projek itu berada pada peringkat akhir penyelarasan bagi membolehkan kerja-kerja pelaksanaan projek bernilai RM108 juta itu dimulakan dalam masa terdekat.
“Proses lanjut berhubung pembinaan RTB ini adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kami jangka ia mampu membantu mencegah masalah banjir yang kerap berlaku di Manjoi ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




