am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gabungan 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan skop penguatkuasaan kawalan terhadap penjualan dan penggunaan vape di Terengganu diperluaskan ke seluruh negara bagi membendung penyalahgunaan bahan itu.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, gabungan NGO menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu memperkukuh kawalan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Langkah itu meneruskan larangan sedia ada terhadap pemberian lesen penjualan vape, penguatkuasaan undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan hukuman seperti kompaun, penyitaan dan pendakwaan di mahkamah, serta larangan terhadap iklan dan tajaan melibatkan produk vape.
Menurut kenyataan itu, terdapat anggota polis mengesahkan penyalahgunaan vape kini berada pada tahap kritikal dan menjadi pintu masuk baharu penyeludupan dadah sintetik.
Antara insiden dibangkitkan termasuk kes kematian seorang jurujual yang ditemui tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih selepas dipercayai menghisap vape, dan pendedahan polis bahawa cecair vape kini turut dicampur bahan terlarang seperti dadah sintetik berbahaya.
Selain itu, Menteri Kesihatan turut mengesahkan sebanyak 41 kes penyakit EVALI berpunca daripada penggunaan vape telah direkodkan di Malaysia dengan kos rawatan mencecah RM150,000 setiap pesakit.
NGO terbabit turut menjelaskan kebimbangan terhadap tindakan menyahsenarai nikotin daripada senarai racun terkawal, yang didakwa berpunca daripada tekanan pihak industri.
Dalam masa sama, gabungan NGO turut menyambut baik kerajaan negeri menyediakan pelan peralihan tiga bulan dan latihan keusahawanan alternatif bagi membantu pengusaha serta pekerja kedai vape beralih kepada bidang yang lebih selamat.
“Inisiatif kawalan ketat ini diharap menjadi dengan semangat kemerdekaan pada Ogos nanti di negeri-negeri lain dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd