60 peserta protes di Myanmar terbunuh – Utusan Digital

 YANGON: Sekurang-kurangnya 60 orang awam terbunuh dalam protes di pekan Bago, berhampiran Yangon, awal pagi ini.

Orang awam ditembak menggunakan peluru hidup ketika pasukan keselamatan memusnahkan sebuah penghadang yang dibina oleh penunjuk perasaan.

Sementara itu, Duta Besar Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kyaw Moe Tun menggesa zon larangan terbang dan sekatan dilaksanakan segera di Myanmar.

Gesaan itu dibuat menerusi satu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB ketika seluruh komuniti antarabangsa mendesak junta tentera menghentikan tindakan kekerasan dan mengembalikan semula demokrasi di Myanmar. 

Moe Tun menggesa zon larangan terbang dilaksanakan segera untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah berlaku akibat serangan udara tentera di tempat-tempat awam.

Beliau juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengenakan embargo senjata api global serta membeku akaun bank berkaitan anggota tentera dan keluarga mereka.

Katanya, semua pelaburan langsung asing (FDI) juga harus dihentikan sementara sehingga kerajaan dipilih secara demokratik dikembalikan semula.   

Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mendesak tindakan tegas diambil untuk menamatkan rampasan kuasa di Myanmar. 

Moe Tun memberitahu Majlis Keselamatan PBB, tiada tindakan drastik diambil meskipun beratus-ratus kematian melibatkan orang awam termasuk kanak-kanak berlaku di negara itu. 

“Justeru, tindakan kolektif dan tegas diperlukan segera menangani krisis di Myanmar.

“Saya percaya komuniti antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB tidak akan membiarkan kekejaman ini berterusan,” katanya ketika berucap secara maya dalam mesyuarat tersebut. – AFP/AGENSI