60 Sukarelawan bersama 22 bot bantu mudahkan pemindahan mangsa banjir

60 Sukarelawan bersama 22 bot bantu mudahkan pemindahan mangsa banjir

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: “Kami penduduk Kampung Pengkalan Ajal, mempunyai Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) yang dianggotai 60 penduduk setempat dan aktif apabila tibanya musim tengkujuh.

“Selain itu sebanyak 22 bot gentian kaca milik penduduk yang berdaftar sebagai sukarelawan juga akan diaktifkan pada musim tengkujuh terutama dalam menyalurkan bantuan pemindahan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir,” kata Alias Abdullah, 56.

Alias yang juga ketua SSB berkata, kebanyakan penduduk mempunyai bot gentian kaca sendiri dan ia akan digunakan untuk kerja-kerja memindahkan penduduk apabila kampung ditenggelami banjir.

Menurutnya, skuad banjir akan berperanan mengangkut mangsa banjir dalam kalangan penduduk setempat untuk dibawa ke balai raya yang dijalankan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, selain mengangkut penduduk yang memerlukan bantuan, skuad berkenaan juga berperanan sebagai pengawal iaitu memantau rumah-rumah yang ditinggalkan penduduk sementara berlindung di PPS.

“Ahli skuad ini juga berperanan sebagai ‘mata-mata’ bagi memastikan keselamatan kediaman yang ditinggalkan penduduk justeru ia dilihat lebih efisien ketika penduduk dilanda musibah.

“Namun, tugas paling utama adalah memindahkan mangsa banjir dalam keadaan segera apabila berlakunya banjir di kampung ini,” katanya.

Penduduk, Mohd Nazrul Fadli Mat Daling, 39, berkata, inisiatif yang diambil penduduk sejak lebih tiga tahun lalu itu boleh disifatkan memudahkan penduduk yang berdepan bencana banjir setiap tahun.

“Kalau dilihat cara ini amat memudahkan penduduk kerana tidak perlu menunggu bantuan tiba kerana kebanyakan penduduk mempunyai bot gentian kaca sendiri untuk ke PPS.

“Namun, bagi penduduk yang tidak mempunyai kemudahan itu tidak perlu risau kerana penduduk lain yang menyertai SSB akan datang membantu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top