am@hmetro.com.my
Putrajaya: Seramai 61 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 berjaya mendapat keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian peperiksaan STAM 2025 adalah signifikan kerana membabitkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
Katanya, pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian sebanyak 2.81 mata.
Gred Purata bagi Calon Sekolah KPM turut mencatatkan pencapaian yang baik iaitu 2.63 mata.
“KPM ingin memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan STAM Tahun 2025 yang diumumkan pada hari ini mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.
“Seramai 4,382 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 pusat peperiksaan seluruh negara dan peratus kehadiran calon secara keseluruhan adalah sebanyak 98.7 peratus.
“Calon di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus,” katanya.
KPM berkata, secara keseluruhan, seramai 2,816 calon berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Katanya, calon menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
“KPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025.
“Tahniah diucapkan kepada semua calon. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




