626 prospek 'merdeka' awal

626 prospek 'merdeka' awal

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: 626 prospek bekas banduan di seluruh negara menarik nafas lega apabila diberikan ‘kemerdekaan’ awal selepas terpilih bagi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani 2025.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang berkata, kesemua prospek terpilih yang memenuhi syarat dibebaskan lebih awal hari ini, menerusi program PBSL sempena bulan Kemerdekaan ke-68.

“Program ini boleh kita sebut sebagai satu pembebasan awal, seiring dengan semangat kemerdekaan.

“Walaupun mereka pernah terpengaruh dengan kesalahan, tetapi kini diberi ruang untuk kembali ke masyarakat, namun harus diingat, peraturan dan syarat tetap perlu dipatuhi,” katanya ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis PBSL, di Dewan Kelab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembebasan itu bukan ‘lesen’ bagi prospek terbabit mengulangi kesalahan lampau sebaliknya mereka akan sentiasa dipantau pegawai penjara yang menguruskan transisi mereka untuk masuk semula ke dalam komuniti.

Katanya, kesemua prospek terbabit dilepaskan secara lesem untuk berada dalam komuniti, sama ada bersama keluarga, majikan atau rumah perantaraan kerajaan.

“Semua peserta terpilih sudah melepasi syarat ditetapkan, termasuk tempoh hukuman, disiplin, serta ujian psikologi.

“Usaha untuk membuktikan dan meyakinkan majikan ini bukan mudah, ada stigma masyarakat terhadap prospek bekas banduan.

“Melalui program ini, kita mengadakan libat urus dengan pihak majikan di seluruh negara dan saya difahamkan ramai pihak majikan tampil menyatakan hasrat untuk membantu,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top