64 hari tanpa matahari di Utqiagvik

64 hari tanpa matahari di Utqiagvik

Alaska: Utqiagvik di Alaska, bakal diselubungi kegelapan selama 64 hari, menandakan permulaan Malam Kutub tahunan, lapor NDTV.

Fenomena ini disebabkan oleh kecondongan paksi bumi dan akan meninggalkan bandar itu tanpa cahaya matahari langsung sehingga 22 Januari 2026.

Terletak kira-kira 500 batu (804.7 kilometer) di barat laut Fairbanks, Utqiagvik menempatkan lebih kurang 4,400 orang yang biasa dengan keadaan cuaca ekstrem.

Bandar ini, dahulunya dikenali sebagai Barrow, adalah penempatan paling utara di negara itu berhampiran Laut Artik.

Difahamkan, walaupun mengalami tempoh gelap yang panjang, penduduk masih akan menyaksikan beberapa jam cahaya senja iaitu cahaya biru pucat sebelum fajar.

Fenomena ini akan memberi kesan besar kepada suhu bandar, yang akan menurun kerana ketiadaan cahaya matahari dan pemanasan siang.

Malam Kutub turut memainkan peranan penting dalam pembentukan pusaran kutub yang mempengaruhi cuaca Hemisfera Utara.

Utqiagvik mempunyai warisan budaya kaya, termasuk tapak arkeologi yang berasal dari 500 Masihi.

Dalam pada itu, fenomena ini berlaku kerana matahari berada di bawah horizon kira-kira dua bulan setiap tahun akibat kecondongan bumi iaitu pada 23.5 darjah.

Musim sejuk di Utqiagvik dicirikan lebih 60 hari gelap, manakala musim panas menyaksikan hampir tiga bulan cahaya matahari berterusan.

Sementara itu, penduduk pula sudah menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem dan bandar ini juga menjadi rumah kepada pasukan bola sepak paling utara di Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, terbit matahari seterusnya dijangka berlaku jam 1.23 tengah hari waktu tempatan pada 26 Januari 2026, menandakan berakhirnya Malam Kutub.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top